Falling love

Erti sebuah Perhubungan...

"...Terimalah seseorang, seadanya.Kebaikannya Disyukuri, Kekurangannya Diredhai..."

Wednesday, November 24, 2010

LAWAN NAFSU MU! by ustaz PAHROL MOHAMAD JUOI

LAWAN NAFSU MU!

Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau. Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau. Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.
Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat? Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.
Undang-undang walaupun sehebat mana pun tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu. Pagar itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.


KUASAI NAFSU, KUASAI DUNIA
“Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia,” demikian kata cerdik pandai. Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia. Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah ‘hamba’ yang baik tetapi ‘tuan’ yang sangat jahat.  Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya. Firman Allah: “Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-An’am 6: 32)
Al-kisah, seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, “siapa kamu?” Petani yang soleh itu menjawab, “aku seorang raja.” Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, “raja kerajaan mana?” Petani menjawab, “raja untuk kerajaan diriku.” Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, “adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?” Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.
Begitulah dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang  hakikatnya hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya. Kuasa, ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu. Hal ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan? Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang tenggelam dalam kejahatan.
Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita. Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, manusia itu sangat cintakan mata benda.” (Surah : )
Selain itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf, cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.
Apabila semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai dirinya. Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:“Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?


CiNta Dalam IslaM...

CiNta Dalam IslaM...

Semua orang petah berbicara mengenai cinta,
tetapi bagaimanakah memperolehi cinta yang
terunggul?
Untuk mendapat cinta manusia yang
tulus lagi sejati, carilah dan kahwinilah manusia
yang mencintai Allah dan Allah jua menyintainya
supaya terisi makna cinta yang sebenar. Sabda
Nabi SAW: Amalan yang paling disukai Allah
ialah mencintai kerana Allah dan membenci
kerana Allah.
 Riwayat Ahmad: Berpasangan dan cinta adalah naluri dan nafsu,
otak mengawalnya. Jika biarkan cinta kuasai diri
hingga merosakkan hidup, nescaya diburu
penyesalan sepanjang hayatnya. Setiap pasangan
perlu belajar menggemari kegemaran pasangannya
dan memperbanyakkan ciri-ciri persamaan antara
keduanya bagi melancarkan hubungan dan
komunikasi mereka. Untuk saling memahami,
seseorang perlu meluahkan rasa hati. Silapnya
kita sering menganggap bahawa yang meluahkan
rasa isi hati itu sebagai pendendam dan celupar. Keintiman pasangan dilihat sejauh mana
perkongsian citarasa, fikiran, perasaan, tingkah
laku, hasrat dan keputusan antara mereka.
Keputusan sepakat membawa berkat. Pasangan
yang tidak ada rasa sepakat, tiada saling
bergantungan dan tiada rasa tanggungjawab
adalah antara petanda bahawa keintiman antara
mereka semakin berkurangan. Kualiti perhubungan antara pasangan dapat dilihat
daripada kualiti komunikasi sama ada positif atau
negatif. Kuasai teknik berhubung supaya maksud
anda difahami.
 Bersikap terlalu kritis terhadap
pasangan menyebabkan hilang keseronokan
dalam perhubungan malah timbul kebosanan.
Kritikan biar berhikmah agar ia tak tersinggung.
Ingatlah bahawa hati wanita terletak di mulut,
kerana mereka gemar meluahkan perasaan
dengan kata-kata. Mulut lelaki pula berada di hati,
kerana mereka lebih suka memendam rasa. Sikap cemburu itu pula tandanya sayang, akan
tetapi cemburu yang berlebihan adalah antara
petanda curiga serta ingin menguasai
pasangannya. Cemburu biar kena pada
tempatnya. Pasangan yang bahagia menggunakan
alasan untuk membela antara satu sama lain.
Manakala pasangan yang tidak bahagia berusaha
mencari alasan untuk saling tuduh-menuduh. Pasangan yang selalu hendak menang,
pentingkan emosi serta egois akan burukkan lagi
perhubungan apabila berlaku krisis. Usah
pentingkan diri tapi banyakkan toleransi. Jika
setiap pasangan mengharapkan cinta mereka
saling berbalas, berlumba-lumbalah mencari kasih
sayang dan carilah keredhaan Allah, itu adalah
sebaik-baik pengharapan.

Cintailah siapa yang kamu cintai, tapi suatu hari
nanti kamu akan berpisah dengannya, tetapi
mencintai Tuhan kekal buat selamanya. Selami
keikhlasan pasangan anda seadanya!